Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan keputusan untuk tidak tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bukan bertujuan mengekalkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan, sebaliknya bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut Perdana Menteri, kestabilan politik amat penting dalam usaha menarik pelaburan berkualiti dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, ketidaktentuan politik serta pilihan raya yang kerap hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat dahulu. Politik mesti stabil. Saya tidak mahu politik hanya digunakan untuk propaganda atau menjaga kedudukan.
“Saya bukan tangguh pilihan raya kerana mahu kekal berkuasa, tetapi kerana mahu memastikan ekonomi negara terus berkembang dan rakyat mendapat manfaat,” katanya ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok hari ini.
Anwar berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara melalui kemasukan pelaburan berteknologi tinggi, selain meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabaikan keperluan asas masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyifatkan pengukuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini sebagai petunjuk bahawa kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih tersusun.
“Pengurusan ekonomi sangat penting dan politik perlu stabil. Jika setiap bulan diadakan pilihan raya dan keadaan politik tidak menentu, siapa yang mahu datang melabur?” katanya.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai keupayaan untuk menangani cabaran ekonomi termasuk menstabilkan mata wang, merangsang pertumbuhan dan menarik lebih banyak pelaburan asing sekiranya kestabilan politik terus dikekalkan.
Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU-15 pada November 2022 yang menyaksikan tiada gabungan politik memperoleh majoriti mudah.
Sejak itu, isu mengenai tempoh hayat kerajaan dan kemungkinan pilihan raya awal sering menjadi bahan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik.
Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan kerajaan Persekutuan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua kerajaan negeri, termasuk yang ditadbir pembangkang, kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan melebihi perbezaan politik.
Beliau berkata amanah yang diberikan kepadanya akan digunakan untuk membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi negara, bukannya untuk kepentingan peribadi atau keluarga.
“Allah sudah uji saya dengan pelbagai dugaan termasuk keluar masuk penjara. Sebab itu saya tidak mahu menggunakan kuasa untuk memperkayakan anak, isteri atau keluarga,” katanya.
Anwar turut mengingatkan rakyat dan pemimpin supaya terus bersabar serta istiqamah dalam menjayakan agenda pembangunan negara kerana proses tersebut memerlukan masa, kebijaksanaan dan komitmen berterusan.
“Pelbagai kritikan akan sentiasa ada, tetapi amanah yang diberikan rakyat mesti terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan negara,” katanya.
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
PRN Johor: Debat Maszlee dan Onn Hafiz, biar pengundi nilai siapa layak jadi MB?
Tun Faisal gesa Samsuri lapor polis isu dua kenyataan media berbeza di FB
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar