Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal

August 16, 2026 · Politik

DAP memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16, sekali gus menamatkan persoalan mengenai pendirian parti itu terhadap kerjasama dalam pentadbiran Persekutuan.

Keputusan itu dibuat menerusi pengundian pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Yang Dipertua DAP, Cha Kee Chin berkata, daripada 2,106 kertas undi dikeluarkan, sebanyak 2,099 disahkan sah manakala tujuh lagi rosak.

Daripada jumlah itu, 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus menyokong usul supaya DAP meneruskan penyertaan dalam Kerajaan Persekutuan, manakala 242 atau 11.5 peratus menolaknya.

“Daripada jumlah undi sah itu, 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus memilih untuk menyokong usul supaya kepimpinan parti meneruskan penyertaan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Sebanyak 242 undi atau 11.5 peratus pula menolak usul berkenaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata keputusan itu memberi mandat jelas kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan pemimpin parti yang berada dalam kerajaan untuk meneruskan agenda reformasi.

Menurutnya, mandat itu juga datang bersama tanggungjawab untuk memastikan penyertaan DAP dalam kerajaan diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar dan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Ini merupakan satu mandat kepada CEC dan pemimpin yang mewakili parti dalam kerajaan untuk terus berkhidmat dan meneruskan kerja kita, termasuk agenda reformasi.

“Kita perlu memberikan fokus dan tumpuan untuk melaksanakan perubahan serta janji yang telah kita janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan.

Keputusan itu hadir ketika kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan menjadi perhatian susulan perbahasan dalaman parti mengenai hala tuju kerjasama politik, termasuk hubungan dengan Barisan Nasional (BN) dan parti lain dalam kerajaan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP menyuarakan keperluan parti menilai kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, terutama dalam menghadapi perkembangan politik menjelang pilihan raya akan datang.

Mengulas kehadiran perwakilan, Loke berkata jumlah sekitar 2,000 yang mengambil bahagian dalam pengundian tidak semestinya mencerminkan wujudnya bantahan terhadap usul berkenaan.

“Kalau ada pemilihan pun biasanya hampir 70 peratus saja yang hadir. Perwakilan kita datang daripada cawangan di peringkat akar umbi. Jadi, ini perkara yang agak biasa,” katanya.

Seramai 2,223 perwakilan direkodkan hadir pada persidangan yang bermula jam 10 pagi itu.

Berita berkaitan
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
5 jam lalu· Politik
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
5 jam lalu· Politik
Kerugian hampir RM10 bilion: Zahid mahu FELDA diaudit secara forensik
5 jam lalu· Politik
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
19 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
2 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
2 jam lalu · Politik
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
5 jam lalu · Politik
Amirudin jumpa Anwar esok, bincang kerjasama PH-BN di Melaka
August 22, 2026 · Politik
Lantang isu luar negara, kenapa diam isu Tabung Haji? – Fahmi sindir PAS
August 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok