Mohamad Sabu.
Satu mekanisme perundangan perlu diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki hukuman melalui tahanan rumah, tertakluk kepada peraturan yang adil, telus serta terpakai kepada semua.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak boleh dikompromi atas faktor kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.
Sebagai tanda komitmen terhadap perjuangan itu, beliau akan menyerahkan keseluruhan gaji bulanannya sebanyak RM11,900 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kesaksamaan undang-undang sehingga pembubaran Parlimen penggal ini.
“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Semarak Tani bersama Nelayan Melaka, hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menegaskan pendiriannya itu bukan disebabkan sebarang pertikaian peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak atau keluarganya, sebaliknya berlandaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menyeru badan masyarakat sivil termasuk Bersih, Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Syarie supaya bersama-sama menggerakkan usaha mempertahankan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menyeru NGO dan seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara. Sebagai tanda komitmen, saya akan menyerahkan sepenuhnya gaji saya sebagai menteri bagi membantu membiayai usaha badan-badan NGO yang menggerakkan perjuangan ini,” katanya.
Isu tahanan rumah menjadi perhatian susulan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di kediamannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 22 Disember 2025 selepas mahkamah memutuskan titah tambahan berkaitan tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan.
Najib, yang merupakan Perdana Menteri keenam dan bekas Presiden UMNO, sedang menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC International. Hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dikurangkan melalui pengampunan diraja pada Februari 2024 kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Mohamad berkata, Malaysia perlu memastikan undang-undang dilaksanakan tanpa diskriminasi atau keistimewaan terpilih bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Perlembagaan mesti dipertahankan untuk semua dan keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu,” katanya.
PRN Sarawak: 7,500 anggota polis siap siaga
PKR tidak bertanding PRN Sarawak, hormati kerjasama dengan GPS
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib