Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mengulas tawaran untuk bersama PAS.
Tawaran PAS kepada MCA dan MIC untuk menyertai parti itu digambarkan sebagai “manis di mulut tetapi tidak enak di hati” masyarakat Cina dan India, selagi parti Islam itu tidak mengubah imej konservatifnya kepada wajah yang lebih terbuka dan inklusif.
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, berkata masyarakat bukan Melayu masih terpengaruh dengan naratif DAP yang menggambarkan PAS sebagai berpotensi mentadbir negara secara ekstrem seperti rejim Taliban.
Menurutnya, kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan dakwaan mengenai gelombang hijau yang mungkin melantik perdana menteri daripada PAS buat pertama kali.
“Oleh itu, PAS perlu menyederhanakan pendirian melalui kerjasama dalam Perikatan Nasional, atau mengubah dasar dan pendekatan politiknya daripada penekanan terhadap agama dan kaum kepada isu keadilan sosial, kemanusiaan, dan kebajikan sejagat,” katanya melalui halaman Facebook semalam.
Kenyataannya itu merupakan respons kepada jemputan terbuka Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini yang mengajak MCA dan MIC menyertai PAS berikutan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat perwakilan dalam kerajaan.
Beberapa pemimpin MCA dan MIC sebelum ini meluahkan rasa berang kerana beranggapan mereka dipinggirkan, malah terdapat usul dari tiga sayap MIC negeri agar parti itu keluar dari Barisan Nasional.
Lian Ker menegaskan bahawa dari sudut strategi politik, langkah menyertai PAS adalah tidak tepat untuk MCA dan MIC kerana ia berisiko menenggelamkan kedua-dua parti tersebut dan mengakibatkan kehilangan undi tradisi.
Beliau mendakwa majoriti pengundi Cina dan India masih belum bersedia menerima PAS, terutamanya selagi parti itu berpegang pada pelaksanaan sistem perundangan Islam yang boleh meletakkan masyarakat bukan Islam dalam kategori inferior seperti kafir harbi atau kafir zimmi.
“Ini mencerminkan nada politik DAP yang cuba menghapuskan kuota bumiputera, yang juga tidak dapat diterima masyarakat Melayu, walaupun DAP cuba menutupnya dengan naratif-naratif baharu,” jelasnya.
Amanah mahu agihan kerusi lebih adil di Melaka, Johor: Khalid Samad
Anwar ucap tahniah atas kemenangan BN di Kinabatangan dan Lamag
BN menang di Kinabatangan dan Lamag, isyarat sokongan rakyat: Zahid
PRK Kinabatangan dan Lamag: Dua calon BN mendahului dalam kiraan undi
UMNO uji konsep Rumah Bangsa pada PRN Melaka: Zahid
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong