Kemelut politik Negeri Sembilan.
Kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pagi ini mencetuskan spekulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin dibubarkan pada masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beberapa ADUN dan pemimpin parti dilihat mula memasuki kediaman rasmi Menteri Besar seawal jam 9.30 pagi dipercayai untuk menghadiri mesyuarat khas berkaitan hala tuju politik negeri itu.
Menurut laporan BH yang memetik Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata tiada sidang media dijadualkan selepas mesyuarat berkenaan.
“Setakat pagi ini belum ada panggilan sidang media. Esok Menteri Besar akan menghadap Tuanku Yang Dipertua Besar Negeri Sembilan dan sesi menghadap itu adalah kelaziman sebelum mesyuarat mingguan EXCO,” katanya.
Perkembangan itu hadir sehari selepas Johor mengambil keputusan membubarkan DUN, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi Negeri Sembilan akan mengikut langkah sama.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata pada Konvensyen PH di Johor bulan lalu Negeri Sembilan berkemungkinan mengambil tindakan serupa sekiranya Johor membubarkan DUN terlebih dahulu.
Aminuddin sebelum ini turut tidak menolak kemungkinan PRN diadakan lebih awal, namun menjelaskan keputusan itu bergantung kepada keadaan semasa dan kestabilan politik negeri.
Untuk rekod, penggal DUN Negeri Sembilan hanya akan tamat pada tahun depan, namun desakan supaya mandat baharu diperoleh mula kedengaran susulan perkembangan politik semasa dan langkah beberapa negeri lain yang mula mempertimbangkan pilihan raya lebih awal.
Sementara itu, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan sekiranya DUN dibubarkan dalam masa terdekat.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.
“Pembubaran DUN perlu dipertimbangkan supaya rakyat dapat menentukan semula mandat mereka demi kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid pula berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN dalam masa terdekat.
“Rakyat mungkin melihat DUN perlu dibubarkan selepas kenyataan Anthony Loke sebelum ini. Namun persoalannya, adakah ia sesuai dilakukan ketika isu adat dan perlembagaan negeri masih diperkatakan,” katanya.
Beliau menambah, jentera Wanita UMNO Negeri Sembilan sudah bersiap sedia sekiranya pilihan raya diadakan pada bila-bila masa.
Kerajaan Pulau Pinang tidak ikut bubar DUN buat PRN seperti Johor: Ketua Menteri
Selepas DUN Johor dibubar, PAS cadang PRN Perlis diadakan sekali
PRN Johor tak gugat kedudukan Kerajaan Perpaduan: Khaled
SPR tunggu notis rasmi pembubaran DUN Johor sebelum umum tarikh PRN
Ketua UMNO Beruas nafi dakwaan tampar cucu Nik Aziz
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi