Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang mempersoalkan pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengenai pembahagian jawatan Kabinet berdasarkan agama, sambil menegaskan kelayakan pemimpin perlu dinilai berdasarkan integriti, amanah dan kebolehan.
Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malik itu berkata, pendekatan sedemikian dilihat cenderung menilai seseorang berdasarkan identiti agama, bukan nilai serta keupayaan yang dibawa pemimpin berkenaan.
“Saya ingin bertanya satu soalan mudah kepada Presiden PAS. Jika pilihannya antara seorang pemimpin Islam yang pecah amanah, menyalahgunakan kuasa atau mencuri wang rakyat dengan seorang bukan Islam yang jujur, berintegriti dan berkebolehan, siapakah yang lebih layak diberi tanggungjawab untuk memimpin?” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, agama seseorang tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran bagi menentukan kelayakan memegang jawatan dalam pentadbiran negara.
Sebaliknya, Lih Kang berkata nilai amanah, keadilan, kejujuran dan integriti perlu menjadi asas utama dalam memilih pemimpin.
Beliau turut mengkritik PAS kerana didakwa lebih banyak menekankan soal identiti dalam politik berbanding memperjuangkan nilai berkenaan secara konsisten.
“Ketika negara berdepan krisis kepercayaan melibatkan pengurusan dan penyalahgunaan dana awam, termasuk isu 1MDB, Tabung Haji dan FELDA, suara PAS dalam mempertahankan prinsip akauntabiliti dan integriti tidak selantang retorik mereka mengenai kaum dan agama,” katanya.
Lih Kang berkata PAS juga perlu menjelaskan bentuk Islam yang mahu diketengahkan dalam pentadbiran negara, khususnya dalam soal keadilan dan pengurusan amanah rakyat.
“Apakah sebenarnya Islam yang mahu mereka perjuangkan dalam pentadbiran negara? Islam yang menegakkan keadilan, amanah dan menentang penyelewengan tanpa mengira siapa pelakunya, atau Islam yang dijadikan ukuran identiti sekadar untuk meraih undi dan memegang kuasa?” soalnya.
Isu itu timbul ketika perbahasan mengenai kedudukan agama dan kelayakan seseorang untuk memegang jawatan dalam kerajaan kembali menjadi perhatian politik, khususnya dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Lih Kang berkata setiap rakyat yang berkebolehan, berintegriti dan setia kepada negara wajar diberi peluang untuk berkhidmat pada peringkat tertinggi tanpa dinafikan hanya kerana agama atau keturunan.
“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik Malaysia sepatutnya bergerak melangkaui politik identiti. Kita sepatutnya mengutamakan pemimpin yang mengangkat nilai amanah, integriti dan keadilan serta benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum