Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Inisiatif kerajaan menyediakan Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga B40 yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dipuji sebagai langkah bermakna ke arah keadilan pendidikan.
Pakar Pengurusan Pendidikan, Perancang dan Polisi, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Aziah Ismail, menyifatkan langkah ini sebagai peluang terbaik untuk pelajar berpotensi mengejar impian akademik tanpa dihalang oleh kekangan kewangan.
“Bagi kebanyakan isi rumah B40, halangan terbesar bukan bakat atau motivasi, sebaliknya kemampuan kewangan.
“Inisiatif ini memberi peluang terbaik kepada pelajar berpotensi untuk mengejar impian mereka tanpa dihalang oleh pendapatan keluarga,” katanya dipetik laporan Bernama.
“Jumlah 5,800 pelajar ini masih lagi kecil berbanding keseluruhan populasi universiti dan kita mesti memastikan bantuan itu turut merangkumi kos sara hidup serta bahan pembelajaran, bukan hanya yuran pengajian semata-mata,” tambahnya lagi.
Inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 itu, melibatkan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga berpendapatan di bawah RM2,705.
Selari dengan hasrat negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, kerajaan juga akan mewujudkan 1,500 tempat baharu bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kritikal seperti undang-undang, perakaunan, ekonomi, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam di lima universiti penyelidikan.
Menurut Dr. Aziah, langkah ini adalah keputusan strategik dan tepat pada masanya.
“Dengan memberi lebih banyak peluang, kerajaan bukan sahaja memperluas akses tetapi juga memastikan bakat daripada pelbagai latar belakang dapat menyumbang kepada pembangunan negara,” jelasnya.
Sementara itu, Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengakui bahawa langkah ini adalah satu langkah progresif.
“Pelaksanaan itu perlu disertai dengan penilaian yang telus agar penerima-penerimanya benar-benar terdiri daripada kumpulan sasaran keluarga B40,” katanya.
“Belanjawan 2026 jelas meletakkan asas kukuh melestarikan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif,” katanya lagi.
Pertemuan Anwar dengan Presiden FIFA buka lembaran baharu untuk bola sepak tempatan
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, dokumen dikemukakan sah
MCMC dan Maktab PDRM lancar kursus khas bersama perkasa pertahanan siber negara
Polis larang perhimpunan di Ampang Park esok, jaga kelancaran Sidang ASEAN
Ribut petir landa enam negeri hingga 6 petang ini: Laporan
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa