Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang terus mengkritiknya walaupun Kerajaan Persekutuan giat melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri itu.
Perdana Menteri menegaskan tidak pernah membezakan layanan terhadap mana-mana negeri, termasuk negeri yang ditadbir pembangkang, kerana keutamaannya ialah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Saya baca di media, Menteri Besar Kedah datang ke Johor dan terus hentam saya. Saya pula pergi ke Kedah membawa Perdana Menteri Thailand ke Bukit Kayu Hitam untuk merasmikan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya fikir tanggungjawab saya ialah membantu rakyat dan membangunkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang di Simpang Renggam malam tadi.
Menurut Pengerusi PH itu, lawatan bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Bukit Kayu Hitam bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya sebahagian usaha memperkukuh ekonomi di kawasan sempadan menerusi pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.
Beliau menegaskan pembangunan di Kedah tetap diteruskan walaupun negeri itu ditadbir PAS.
“Walaupun Kedah ditadbir PAS, saya tidak melihat soal parti. Saya melihat tanggungjawab untuk membantu rakyat dan memajukan negara,” katanya.
Anwar mengulas kenyataan Sanusi yang sebelum ini dilaporkan menyindirnya dengan mendakwa seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memegang tampuk pentadbiran negara.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut memberi bayangan kerajaan akan mempertimbangkan peningkatan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya pentadbiran Kerajaan Persekutuan terus kekal stabil dan PH diberi mandat mentadbir.
Menurutnya, langkah itu mampu dilaksanakan hasil pengurusan kewangan negara yang lebih berdisiplin serta usaha membanteras ketirisan.
“Kita urus kewangan negara dengan lebih berhemat. Sebab itu kita mampu menambah bantuan kepada rakyat jika kestabilan pentadbiran dapat dikekalkan,” katanya.
Program Grand Finale PH DUN Layang-Layang merupakan antara lima siri kempen yang dihadiri Anwar di Johor pada Jumaat bagi membantu calon dan jentera PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu.
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri