Mana-mana perhimpunan di kawasan Ampang Park, Jalan Ampang esok dilarang sama sekali oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mana-mana perhimpunan di kawasan Ampang Park, Jalan Ampang esok dilarang sama sekali oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan dan imej negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata keputusan itu dibuat setelah penilaian keselamatan mendapati kawasan tersebut tidak sesuai untuk sebarang perhimpunan.
“Ampang Park dikategorikan sebagai kawasan zon merah kerana jaraknya kurang 50 meter daripada laluan protokol dan kawasan penginapan rasmi delegasi Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk Hotel Intercontinental.
“Atas faktor keselamatan, imej negara serta kelancaran persidangan antarabangsa itu, polis tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut PDRM, maklumat yang diterima menunjukkan sehingga tiga perhimpunan, yang melibatkan kira-kira 1,000 hingga 1,500 peserta, dirancang di lokasi tersebut dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi.
Perhimpunan itu difahamkan dianjurkan oleh gabungan pertubuhan yang prihatin isu Palestin sebagai bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Fadil mendedahkan bahawa pihak polis telah mencadangkan lokasi alternatif seperti Dataran Merdeka atau Padang Merbok, namun penganjur didapati masih berhasrat meneruskan perhimpunan di Ampang Park.
“Sekiranya perhimpunan tetap diadakan, ia bercanggah dengan arahan keselamatan dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.”
Sambil menegaskan bahawa PDRM menghormati hak berhimpun, Fadil menekankan tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi undang-undang.
“Polis akan mengarahkan peserta bersurai serta mengawal keadaan bagi mengelak sebarang provokasi,” jelasnya.
Sebagai persediaan, Polis Kuala Lumpur akan menggerakkan kekuatan penuh dengan bantuan anggota dari luar daerah bagi memastikan keselamatan ibu kota terpelihara sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
Orang ramai juga diminta bekerjasama dengan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini membawa imej negara di peringkat antarabangsa. Justeru, menjadi tanggungjawab bersama termasuk masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memastikan kelancaran acara penting ini,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Pertemuan Anwar dengan Presiden FIFA buka lembaran baharu untuk bola sepak tempatan
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, dokumen dikemukakan sah
MCMC dan Maktab PDRM lancar kursus khas bersama perkasa pertahanan siber negara
Ribut petir landa enam negeri hingga 6 petang ini: Laporan
Banjir di tiga negeri masih kritikal, mangsa meningkat
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa