Rafizi minta PMX pandang serius dalam isu membabitkan Farhash

July 25, 2025 · Politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa memandang serius kontroversi membabitkan bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador bagi mengelakkan ia menjadi beban besar kepada kerajaan.

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli berkata keyakinan terhadap pentadbiran walaupun serius dalam menangani isu rasuah tidak akan berjaya sekiranya timbul isu-isu kontroversi membabitkan individu yang rapat dengan pimpinan kerajaan.

“Jika Perdana Menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, rakyat masih belum yakin sepenuhnya dengan kempen antirasuah kerajaan, meskipun pelbagai inisiatif pentadbiran Madani telah dijalankan.

Rafizi merujuk kepada tuduhan terbaru melibatkan Farhash yang merupakan bekas pembantu politik Anwar berhubung skandal lesen penerokaan mineral di Sabah melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar.

Tuduhan itu disertakan dengan dokumen dan rakaman audio yang kini tersebar luas.

Rafizi berkata, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.

Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.

“Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum,” katanya.

Namun, Rafizi berkata, pengaruh Farhash menjadi bualan rakyat di luar – baik rakyat biasa yang melihat kemewahan dan gaya hidupnya, sehinggalah golongan perniagaan yang berurusan dengan kerajaan dan dalam sektor korporat.

“Apabila perkara ini dibangkitkan sebelum ini, YAB Anwar Ibrahim hanya memberi penafian. Penjelasan beliau ialah kegiatan perniagaan Farhash tidak ada kena mengena dengan beliau kerana Farhash bukan lagi setiausaha politik beliau.

“Saya memilih untuk bersangka baik ketika itu, walaupun saya tahu pengaruh Farhash dalam PKR dan sebahagian pentadbiran kerajaan itu benar-benar wujud,” katanya.

Rafizi percaya, tuduhan terbaharu mengenai lesen penerokaan mineral membabitkan Farhash tidak akan mati begitu sahaja.

“Pendedahan setakat ini disertakan dengan dokumen dan rakaman audio. Saya percaya lebih banyak maklumat akan menjadi pengetahuan umum selepas ini.

“Saya juga percaya ia bukan tuduhan terakhir yang membabitkan Farhash. Dari semasa ke semasa, ada saja kontroversi baru mengenai beliau yang akan menjadi bualan umum.

“Oleh itu, saya berharap YAB Perdana Menteri memandang perkara ini dengan serius,” katanya lagi.

Berita berkaitan
DNAA: Zahid, AG dapat kebenaran cabar semakan kehakiman Badan Peguam
20 jam lalu· Politik
Isu RM2.1 bilion KKDW: Akmal persoal laporan Guan Eng kepada SPRM
23 jam lalu· Politik
NADI Inanam Sentral dibuka, peluang digital diperluas
23 jam lalu· Isu semasa
SPRM perlu teliti isu RM2.1 bilion projek jalan luar bandar: AMK
23 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
14 jam lalu · Politik
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
15 jam lalu · Politik
Aminuddin terkejut 10 Exco saman kerajaan Negeri Sembilan
23 jam lalu · Politik
DUN Sarawak dijangka bubar November, PRN makin dekat
October 7, 2026 · Politik
10 ADUN Negeri Sembilan cabar pembatalan pelantikan Exco di mahkamah
October 7, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok