Sektor pelancongan domestik naik 22.1%, rakyat berbelanja dalam negara: DOSM

June 19, 2025 · Isu semasa

Data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2025 sebanyak RM29.4 bilion, peningkatan 22.1 peratus tahun ke tahun.

Menerusi data Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2025 dan Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia Suku Pertama 2025, bilangan pelawat domestik di Malaysia mengalami lonjakan yang ketara kepada 69.7 juta orang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, meningkat 18.9 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku ke suku, pelawat domestik meningkat 4.3 peratus berbanding suku keempat 2024.

“Bilangan pelancong domestik pada suku tahun pertama 2025 meningkat 37.6 peratus berbanding suku tahun pertama 2024, mencatatkan 25.2 juta pelancong,” katanya.

Dalam laporan terkini DOSM itu, sektor pelancongan domestik Malaysia merekodkan pertumbuhan yang ketara pada 2024, dengan jumlah perbelanjaan pelawat domestik mencecah RM106.7 bilion, meningkat 25.6 peratus daripada RM84.9 bilion pada 2023.

“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan perbelanjaan daripada pelancong dan pelawat harian, masing-masing mencatatkan kadar pertumbuhan 20.6 peratus dan 33.8 peratus. Pelancong kekal sebagai penyumbang terbesar jumlah perbelanjaan dengan 59 peratus, walaupun terdapat pertumbuhan perlahan daripada 61.5 peratus pada tahun sebelumnya.

“Purata tempoh penginapan meningkat secara sederhana kepada 2.49 malam pada 2024 daripada 2.45 malam pada 2023, menunjukkan peningkatan dalam bilangan hari bermalam bagi perjalanan domestik,” katanya.

  • Bilangan pelancong tempatan di Malaysia melonjak kepada 69.7 juta orang pada suku pertama tahun ini (Januari-Mac), menunjukkan peningkatan 18.9% berbanding tempoh sama tahun lepas.

    Apa maksudnya?
    ✔ Lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara
    ✔ Sektor pelancongan tempatan semakin pulih
    ✔ Pertumbuhan positif untuk industri pelancongan

Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan pelawat domestik meningkat 21.7 peratus untuk mencatatkan 260.1 juta pelawat pada 2024 berbanding 213.7 juta pada 2023.

Katanya, peningkatan dalam aktiviti perjalanan domestik itu disokong faktor bermusim pada suku pertama, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah yang menyumbang kepada peningkatan pergerakan dan perbelanjaan berkaitan pelancongan.

“Bagi mod pengangkutan, 97.6 peratus pelawat domestik menggunakan pengangkutan darat, manakala perjalanan udara hanya menyumbang 2.1 peratus. Dari segi pemilihan penginapan, 60.4 peratus pelancong menginap bersama saudara-mara dan rakan,” katanya.

Sementara itu, kadar pelancong yang memilih penginapan berbayar meningkat dengan penginapan di hotel mewakili 21.7 peratus daripada penginapan bermalam dan penggunaan inap desa meningkat daripada 6.7 peratus pada 2023 kepada 8.6 peratus pada 2024.

“Melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai tujuan utama perjalanan domestik, menyumbang 34.6 peratus daripada bilangan perjalanan pada 2024, meningkat daripada 33.6 peratus pada 2023. Sebaliknya, perjalanan bertujuan untuk membeli-belah merosot kepada 27.6 peratus daripada 32.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, membeli-belah kekal menjadi kategori perbelanjaan yang terbesar, mencatatkan 37.4 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelancongan domestik, diikuti oleh makanan dan minuman dengan 16.2 peratus dan pembelian bahan api kenderaan dengan 12.7 peratus,” tambah Mohd Uzir.

Di peringkat negeri, Selangor menjadi negeri yang paling kerap dikunjungi, menarik 34.5 juta pelawat domestik, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 27 juta pelawat domestik dan Perak dengan 21.8 juta pelawat domestik.

Selain itu, Perak mengalami peningkatan yang ketara dalam ketibaan pelancong, meningkat sebanyak 36.1 peratus kepada 10.2 juta pada 2024 daripada 7.5 juta pada 2023.

Secara keseluruhannya, DOSM mendedahkan, sektor pelancongan domestik Malaysia pada 2024 menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan pesat, didorong oleh peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan yang lebih tinggi dan perubahan dalam corak perjalanan.

Berita berkaitan
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
11 jam lalu· Isu semasa
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
September 18, 2026· Isu semasa
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
September 5, 2026· Isu semasa
Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi
August 29, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
7 jam lalu · Isu semasa
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
7 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
7 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
September 20, 2026 · Isu semasa
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok