Bursa Malaysia mencatatkan prestasi tinggi pada awal dagangan Isnin.
Indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) minggu lalu terkesan dengan situasi politik domestik dalam negara dengan spekulasi rombakan Kabinet dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tahun ini.
Menurut laporan firma penyelidikan TA Securities, pemulihan pasaran berjalan perlahan ekoran suasana politik tak menentu spekulasi rombakan Kabinet dan pergolakan dalaman parti politik.
Bagaimanapun, indeks utama berjaya melonjak 8.44 mata atau 0.56 peratus kepada 1,516.79.
Menurut laporan itu lagi, peletakan jawatan menteri, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang masing-masing akan berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai, mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan dalaman parti pemerintah.
“Perkembangan ini berlaku serentak dengan pengumuman Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang telah keluar daripada UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR.
“Langkah Tengku Zafrul itu juga mencetuskan spekulasi bahawa rombakan Kabinet semakin hampir, memandangkan tempoh dua penggal beliau sebagai senator akan berakhir Disember ini dan tidak boleh disambung semula,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, ketidaktentuan ini mencetuskan rasa tidak yakin dalam kalangan pelabur yang kini mengambil pendekatan berhati-hati, terutamanya dalam membuat keputusan pelaburan jangka pendek.
Katanya, suasana bertambah rumit apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir dengan pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri ke-16 dijangka berlaku pada 11 November ini.
“Keretakan hubungan antara UMNO Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang kini menolak sebarang kerjasama pilihan raya, turut menimbulkan persoalan terhadap kemampuan kerajaan negeri mempertahankan kedudukannya,” katanya.
Menurut firma itu lagi, kelemahan dalam kestabilan politik domestik menjadi faktor utama yang membataskan kebangkitan kukuh FBM KLCI walaupun pada masa sama, penilaian pasaran saham dilihat masih berada pada paras menarik.
Indeks utama kini diniagakan pada unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kewangan 2026 sebanyak 12.8 kali, iaitu 1.3 sisihan piawai di bawah purata jangka panjang 16 kali, sekali gus menunjukkan potensi pemulihan jika ketidaktentuan dapat dikurangkan.
Sementara itu, dari sudut luar negara, TA Securities berkata, perkembangan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta data ekonomi utama dari China dijangka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi hala tuju pasaran serantau minggu ini.
“Hubungan antara AS dan China menunjukkan sedikit pemulihan susulan panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin yang menyatakan kesediaan untuk melakukan lawatan timbal balik, yang jika direalisasikan, boleh mengurangkan ketegangan dan menyokong sentimen pelabur,” katanya.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa sebarang lonjakan pasaran tempatan dijangka bersifat sederhana selagi tiada kepastian politik di peringkat domestik dan dasar ekonomi kerajaan yang konsisten untuk menyokong pertumbuhan jangka sederhana.
FBM KLCI sebelum ini mengalami penyusutan selama tiga minggu berturut-turut sehingga mencecah paras terendah 1,497.42 mata pada Selasa lalu sebelum pulih semula berikutan aktiviti belian saham murah dalam sektor terpilih.
Dalam tempoh itu, saham seperti YTL Corp, YTL Power, Petronas Dagangan, Sime Darby dan Gamuda mencatatkan peningkatan dan membantu mengimbangi penyusutan yang dicatatkan oleh Petronas Chemicals dan PPB Group.
Namun begitu, minat dagangan keseluruhan kekal lemah dengan purata volum harian turun kepada 2.46 bilion saham berbanding 2.96 bilion minggu sebelumnya, manakala nilai dagangan harian purata turut susut kepada RM2.05 bilion daripada RM2.56 bilion.
TA Securities menjangkakan pasaran akan terus bergerak secara berhati-hati minggu ini, dengan pelabur memberi perhatian kepada data Indeks Harga Pengguna (CPI) dan data pekerjaan AS, selain perkembangan politik tempatan yang semakin dinamik.
Guru rugi RM325,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai AMLA
Guan Eng desak Sosma dimansuh susulan penahanan remaja 16 tahun
Agong berangkat ke Russia untuk lawatan khas: Laporan
SPRM sita aset RM9.7 juta dalam siasatan pelaburan RM300 juta
Sultan Pahang tegur salah guna kuasa di sebalik baju seragam dan institusi
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong