Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Amirudin Shari menegaskan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan berlangsung pada 19, 22 dan 23 Jun ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembubaran DUN atau persiapan ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor berkata, sidang khas itu diadakan bagi memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang bertujuan membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa.
“Tidak ada kaitan dengan PRN, kita lambat lagi (nak bubar DUN), tidak ada. Kita bukan macam Johor. Johor buat pengumuman bantuan masa hendak PRN, kita tak ada PRN pun kita buat bantuan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.
Amirudin menjelaskan pengumuman yang dibuat hari ini adalah susulan kepada pakej yang diumumkan pada April lalu, dengan fokus kepada kaedah pelaksanaan dan jadual penyaluran bantuan kepada rakyat.
“Saya umumkan hari ini adalah pelaksanaan kepada pakej sama seperti diumumkan pada April lalu. Pengumuman dibuat bagi menetapkan kaedah pelaksanaan serta jadual penyaluran semua inisiatif di bawah pakej ini,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pakar ekonomi, industri, tenaga dan geopolitik sejak bulan ini bagi menilai kesan ketidaktentuan ekonomi global terhadap Selangor.
Katanya, hasil perbincangan itu membawa kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi penekanan kepada usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan daya tahan ekonomi negeri.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 merangkumi tujuh inisiatif utama iaitu Baucar Kita Selangor, subsidi tambang pengangkutan awam, program sarapan percuma kepada pelajar, Jelajah Ehsan Rahmah, bantuan kepada sektor pertanian, Jualan Rumpun Selangor dan penubuhan Gudang Makanan Selangor.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan pakej berkenaan sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat dan rantaian bekalan makanan.
Sidang khas DUN yang bakal berlangsung minggu ini dijangka menjadi platform untuk memperincikan pelaksanaan serta impak inisiatif yang dirancang kepada rakyat Selangor.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar