Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara dibuat atas permintaan pihak penerbit sendiri, bukannya akibat arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan, FINAS berkata pengesahan itu diperoleh daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Media Prima Berhad yang bertindak sebagai pengedar filem berkenaan.
Menurut FINAS, semakan mendapati Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. selaku penerbit telah mengemukakan permintaan supaya tayangan filem itu dihentikan bermula 28 Mei.
“Semakan FINAS bersama pengedar dan pempamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi di media sosial mengenai penamatan tayangan filem tersebut selepas ia ditarik daripada pawagam hanya seminggu selepas ditayangkan.
FINAS turut menjelaskan Konspirasi telah mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diluluskan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu mula ditayangkan di 120 skrin pawagam seluruh negara pada 21 Mei.
Bagaimanapun, FINAS memaklumkan pihaknya masih belum menerima penjelasan lanjut daripada penerbit mengenai keputusan menghentikan tayangan filem berkenaan walaupun beberapa usaha menghubungi mereka telah dibuat.
“FINAS akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Konspirasi diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment bersama Asia Tropical Films dan mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdepan misi berisiko tinggi membanteras rangkaian rasuah serta kebocoran maklumat sulit.
Filem itu sebelum ini mencuri perhatian kerana mengetengahkan tema integriti, salah guna kuasa dan konflik dalaman dalam agensi penguatkuasaan, selain dibarisi beberapa pelakon popular tempatan.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri