Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Kerajaan mengecam tindakan seorang individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di media sosial, menyifatkannya sebagai perbuatan melampau yang mencetuskan kemarahan ramai.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, kandungan berkenaan bukan sahaja biadab dan menghina Islam, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.
“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut Fahmi, MCMC akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
“Apa-apa perlakuan yang menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak akan diterima sama sekali,” tegasnya.
Isu penghinaan terhadap agama sering menjadi perhatian serius di Malaysia, sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan mengamalkan kehidupan masyarakat majmuk.
Dalam beberapa kes terdahulu, tindakan undang-undang telah diambil terhadap individu yang memuat naik kandungan berunsur provokatif atau menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Tindakan individu berkenaan mencetuskan reaksi pantas warga maya yang menyifatkannya sebagai melampau dan tidak menghormati kesucian agama.
Ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan ketegangan antara masyarakat.
Sementara itu, individu terbabit tampil memohon maaf menerusi satu hantaran lewat tengah malam tadi. Dia mengakui perbuatannya sebagai satu kesilapan besar dan tidak menghormati kesucian Islam.
“Saya akui kesilapan saya dan memohon maaf atas tindakan yang telah menyinggung perasaan umat Islam,” katanya, sambil menjelaskan bahawa hantaran tersebut dibuat ketika dia berada dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam.
Kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.
PMX umum peruntukan pembangunan untuk Kelantan naik RM8 bilion
Cadangan kekalkan kuota BUDI95 kepada pengamal media akan dibincang: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
Nahas helikopter Kalimantan Barat: Rakyat Malaysia terkorban dikenal pasti
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan