Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal dengan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen, sekali gus menepis sebarang spekulasi mengenai perubahan pendirian parti itu.
Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama BN dalam Kerajaan Persekutuan dibuat atas pertimbangan kepentingan kestabilan politik dan tidak akan diubah hanya disebabkan perbezaan politik di peringkat negeri.
Beliau berkata komitmen BN dalam menjayakan kerjasama itu bukan sesuatu yang boleh diberikan atau ditarik balik secara sewenang-wenangnya.
“Lebih-lebih lagi persetujuan dan komitmen BN untuk bersama-sama menjayakan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini adalah dibuat atas kesedaran untuk memberikan kestabilan politik dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, BN tetap berpegang kepada komitmen itu walaupun parti berkenaan berdepan PH dan PKR dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
Katanya, keputusan politik di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak dijadikan alasan untuk BN menarik diri daripada kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama yang baik di peringkat Persekutuan. Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita,” katanya.
Mohamed Khaled berkata BN melihat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai satu keputusan politik yang perlu dihadapi apabila tiba masanya, bukannya alasan untuk mengubah komitmen sedia ada dalam kerajaan.
Kenyataan itu hadir sehari selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan PKR akan terus bekerjasama dengan BN dan UMNO di peringkat Persekutuan bagi memastikan kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.
Kerjasama antara PH, BN dan beberapa parti lain membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 yang menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Sejak itu, kerjasama politik berkenaan menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan, walaupun PH dan BN kekal sebagai pesaing dalam beberapa pilihan raya negeri.
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
UMNO kekal hingga tamat penggal, PKR sambut baik: Saifuddin Nasution
Bekas menteri bakal didakwa esok berhubung RCI Tabung Haji
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum