Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengakui “panas” melihat masalah kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau berkata, masih terdapat kontraktor yang sudah melaksanakan kerja mengikut kemajuan ditetapkan dalam kontrak, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), namun berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.
Menurutnya, keadaan itu memberi tekanan kepada aliran tunai syarikat sehingga ada kontraktor terpaksa menutup operasi, selain berdepan tindakan saman daripada pembekal bahan dan subkontraktor.
“Berapa banyak kontraktor yang sudah tutup kedai? Berapa banyak di kalangan mereka yang disaman oleh pembekal bahan? Berapa banyak subkontraktor yang menyaman kontraktor?
“KKDW disalahkan, tetapi puncanya orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kelewatan pembayaran bukan hanya memberi kesan kepada kontraktor, malah turut menjejaskan pembekal, kontraktor kecil, pekerja dan penyedia perkhidmatan dalam rantaian ekonomi setempat.
Katanya, satu pembayaran yang tertangguh mampu mencetuskan tekanan ekonomi lebih besar daripada nilai pembayaran itu sendiri.
“Saya memahami kekangan fiskal yang sedang kita uruskan, tetapi perkara ini perlu ditangani secara lebih sensitif. Saya ingin memohon supaya pihak yang berkenaan memberikan perhatian yang serius terhadap isu ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegur pelaksanaan peruntukan yang disifatkannya tidak selari dengan bajet yang sudah diluluskan.
“Bajet yang diumumkan hendaklah disalurkan! Jangan yang tidak ada peruntukan dalam bajet, tetapi itu yang dilaksanakan.
“Yang patut dibayar tidak dibayar, yang tidak perlu dibayar, dibayar. Yang ‘not budgeted for’ dilakukan, yang ‘budgeted for’ tidak dilaksanakan. Itu masalah di hadapan kita. Saya bukan marah, saya ‘hot’ sahaja,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pengurusan fiskal yang baik bukan sekadar mengawal perbelanjaan, tetapi turut memastikan komitmen kerajaan yang sudah dibuat dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Beliau turut meminta KKDW mengurangkan penambahan perkara baharu dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian projek dan komitmen sedia ada.
Dalam masa sama, beliau mengarahkan semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW melaksanakan **“Operasi Sifar Tertangguh”** bagi menyelesaikan projek serta isu yang masih tertangguh.
Operasi itu merangkumi perkara berkaitan projek, bayaran, tanah, utiliti, kontrak, aset dan keputusan yang belum diselesaikan.
“Jangan lagi ada masalah yang berpindah dari satu mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain tanpa siapa yang benar-benar bertanggungjawab menyelesaikannya,” katanya.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum