Lembaga Zakat Selangor.
Lembaga Zakat Selangor menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta yang kini disiasat pihak berkuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata institusi itu beroperasi secara rasmi di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor serta mematuhi kerangka undang-undang dan tadbir urus yang ketat.
Menurutnya, setiap pengurusan dana zakat melalui proses pemantauan menyeluruh termasuk audit dalaman, audit luaran dan semakan pihak berautoriti.
“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan bagi memastikan setiap dana diurus secara teratur dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan laporan penahanan beberapa individu berhubung kes tersebut sebenarnya melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan tidak ada kaitan dengan operasi Zakat Selangor.
“Kes yang dilaporkan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pengurusan zakat oleh institusi ini,” tambahnya.
Isu penyelewengan dana zakat itu menjadi perhatian umum selepas pihak berkuasa menahan beberapa individu yang disyaki menyalahgunakan sumbangan orang ramai.
Kes berkenaan mencetuskan kebimbangan terhadap ketelusan pengurusan dana zakat, khususnya dalam kalangan penderma.
Dalam pada itu, Mohd Khaidzir menegaskan pendirian tegas Zakat Selangor terhadap sebarang bentuk salah guna dana zakat dan komited memastikan integriti pengurusannya sentiasa terpelihara.
Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak akan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat,” katanya.
Zakat Selangor turut menggalakkan umat Islam menunaikan zakat melalui platform sah bagi memastikan sumbangan disalurkan kepada golongan yang layak secara telus dan berkesan.
Kerajaan cadang wajibkan pengiklan dalam media sosial sahkan identiti, elak scam
Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi