FOMCA menggesa kerajaan memperketat pemantauan harga barang keperluan dan penguatkuasaan pasaran.
Ketegangan geopolitik global dijangka memberi kesan lebih besar terhadap rantaian bekalan barangan berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Ameer Ali Mydin.
Beliau berkata kebimbangan utama ketika ini bukan sekadar peningkatan harga barang, tetapi kemungkinan gangguan bekalan akibat konflik dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menurutnya, Malaysia masih belum merasai kesan besar terhadap ekonomi domestik, namun cabaran sebenar mungkin mula dirasai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Cabaran sebenar bukan harga. Orang terlalu fokus kepada harga, sedangkan perkara lebih penting ialah sama ada bekalan itu masih ada atau tidak,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Ameer Ali menjelaskan setakat ini perubahan harga masih terkawal dengan ada barangan yang mengalami penurunan harga manakala sebahagian lagi meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.
Bagaimanapun, beliau menjangka gangguan bekalan global boleh memberi tekanan lebih besar kepada pasaran tempatan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
Beliau berkata dunia sebenarnya pernah melalui situasi serupa sebelum ini termasuk ketika perang Ukraine yang menyebabkan kekurangan baja serta sewaktu pandemik Covid-19 yang mengganggu rantaian bekalan antarabangsa.
“Kita sudah beberapa kali melalui keadaan seperti ini. Pengalaman lalu membantu perniagaan dan negara lebih bersedia mengurus gangguan bekalan,” katanya.
Mengulas perkembangan sektor e-dagang, Ameer Ali berkata industri itu kini turut berdepan tekanan akibat peningkatan kos logistik dan penghantaran.
Menurut beliau, keadaan semasa berbeza dengan tempoh pandemik apabila pengguna lebih bergantung kepada pembelian dalam talian kerana sekatan pergerakan.
Katanya, pengguna pasar raya lazimnya membeli secara pukal, manakala pembelian menerusi platform e-dagang sering melibatkan item tunggal yang menjadikan kos penghantaran lebih tinggi.
“Ramai fikir mereka dapat penghantaran percuma atau kupon percuma, tetapi hakikatnya tiada apa yang benar-benar percuma,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Mydin masih belum bercadang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia kerana syarikat itu lebih mengutamakan nilai jangka panjang dan khidmat kepada masyarakat berbanding keuntungan besar untuk pelabur.
“Kami bukan syarikat yang terlalu mengejar keuntungan kerana sebahagian pendapatan dikembalikan kepada pembekal dan komuniti,” katanya.
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum