Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, didorong oleh permintaan domestik yang terus stabil serta prestasi eksport yang memberangsangkan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan susulan keadaan pasaran pekerjaan yang positif dan kadar pengangguran yang rendah.
“Pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan awam, selain kadar realisasi tinggi bagi pelaburan yang telah diluluskan,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi negara di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, sektor eksport turut menunjukkan momentum kukuh terutama dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap komponen berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Bagaimanapun, pertumbuhan import kasar dilihat semakin sederhana berikutan pengurangan import barangan modal, perantaraan dan pengguna.
Dari sudut sektor ekonomi, Abdul Rasheed menjelaskan sektor perkhidmatan berkembang pada kadar lebih perlahan disebabkan penurunan jualan kenderaan bermotor selepas pengguna membuat pembelian lebih awal sebelum tamat pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik tahun lalu.
Menurutnya, sektor pembuatan terus mencatat prestasi positif hasil permintaan berterusan terhadap produk E&E, manakala sektor pertanian berkembang lebih perlahan susulan pengeluaran minyak sawit kembali normal selepas peningkatan tinggi sebelum ini.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian pula menguncup berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pertumbuhan sektor pembinaan kembali sederhana selepas mencatat pertumbuhan dua digit sebelum ini, terutama disebabkan penyederhanaan aktiviti pembinaan kediaman dan projek kejuruteraan awam.
Pada asas suku tahunan yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi negara bagaimanapun merekodkan penguncupan kecil sebanyak 0.01 peratus selepas prestasi lebih kukuh dicatatkan pada suku sebelumnya.
Prestasi semasa itu dilihat mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan perdagangan antarabangsa yang masih berlanjutan.
Dua warga emas di Pulau Pinang rugi RM2.7 juta ditipu skim pelaburan palsu
KPT perjelas laluan tahfiz ke IPTA, syarat masuk bagi UEC belum muktamad
Subsidi BUDI95 kekal, bantu rakyat hadapi kos sara hidup: Saifuddin Nasution
Ekonomi malaysia dijangka terus kukuh tahun depan: Bank Dunia
PMX bantah langkah Norway batal kontrak peluru berpandu LCS
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil