Dr Sani Araby Abdul Alim.
Seramai 25 rakyat Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan antara ratusan aktivis yang ditahan tentera laut Israel ketika konvoi kapal menuju ke Gaza, hari ini.
Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) memaklumkan sebanyak 40 kapal bantuan yang membawa hampir 350 aktivis dari pelbagai negara telah dipintas di perairan antarabangsa oleh rejim Zionis.
Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima pengesahan mengenai lokasi dan keadaan semua aktivis yang ditahan.
“SNCC menerima laporan visual yang mengesahkan semua aktivis telah diculik secara paksa keluar dari kapal masing-masing sebelum dipindahkan ke empat kapal tentera rejim,” katanya dalam sidang media di Sepang.
Beliau berkata terdapat dua kemungkinan lokasi pemindahan aktivis terbabit, sama ada ke Greece atau pelabuhan Ashdod di Israel.
“Ada kemungkinan Israel cuba mengalih perhatian dan sehingga kini kita masih belum mendapat kepastian ke mana sebenarnya mereka akan dibawa,” katanya.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat ialah Razman Mat Ali, Nor Liyana Farhan Daud, Al Ahmad Shah Abdul Kadir, Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin.
Turut ditahan ialah beberapa aktivis lain yang berada di kapal berbeza termasuk Ozgurluk, Bolarize, Amanda, Themis dan Gotico.
GSF 2.0 merupakan kesinambungan misi flotila antarabangsa yang digerakkan bagi membawa bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada penduduk Gaza yang terus berdepan serangan serta sekatan Israel sejak konflik memuncak tahun lalu.
Misi itu disertai aktivis kemanusiaan, pengamal media dan sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Sri Lanka.
SNCC turut mengesahkan beberapa delegasi negara lain di bawah koordinasi MANDIRI Nusantara turut ditahan, termasuk aktivis dari Indonesia, Pakistan dan Sri Lanka.
Dalam pada itu, SNCC mengecam tindakan Israel yang disifatkan sebagai penculikan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ini jelas melanggar prinsip kebebasan misi kemanusiaan di perairan antarabangsa serta bercanggah dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS),” katanya.
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum