Anwar berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan geran khas interim kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini sementara menunggu mekanisme penuh tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merupakan penyelesaian sementara selaras dengan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, rundingan mengenai jumlah sebenar pembayaran masih diteruskan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana ia melibatkan kaedah pelaksanaan serta implikasi kewangan yang perlu diperincikan.
“Soal 40 peratus hasil Sabah ini, bagi saya kita perlu tutup ruang pertikaian dan laksanakan janji yang telah dibuat. Sama ada pembayaran dibuat pada Jun atau Disember, ia perlu diputuskan bersama melalui jawatankuasa berkaitan sebelum dimuktamadkan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I, Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Joseph Pairin Kitingan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, komitmen berkaitan tuntutan hasil 40 peratus itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diumumkan secara rasmi di Parlimen, namun cabaran utama ketika ini adalah menentukan formula pelaksanaan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Beliau turut mengarahkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican untuk memperincikan rundingan bersama kerajaan negeri Sabah.
“Keputusan ini berkait rapat dengan MA63. Setiap keputusan yang dibuat perlu diteliti secara mendalam kerana ia turut memberi kesan kepada Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain.
“Proses ini mengambil sedikit masa, tetapi kerajaan tidak akan menolak hak Sabah untuk menerima dana tersebut,” katanya.
Isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan di Sabah merupakan antara perkara utama yang sering dibangkitkan kerajaan negeri sejak sekian lama.
Ia merujuk kepada hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang dikaitkan dengan MA63, namun pelaksanaannya tertangguh selama beberapa dekad.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan memperkenalkan geran khas interim sebanyak RM125.6 juta setahun pada 2022 sebelum dinaikkan kepada RM300 juta dan kemudian RM600 juta.
Pengumuman terbaru ini menjadikan jumlah interim yang diterima Sabah meningkat secara ketara sementara formula penuh pembayaran dimuktamadkan.
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
MB Negeri Sembilan: Tiada calon lain selain Tok Min
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS