PAS.
Kebelakangan ini, hubungan politik antara PAS dan bekas tokoh kanan Bersatu, Hamzah Zainudin semakin menjadi perhatian.
Malah, beberapa perkembangan mutakhir memperlihatkan PAS seolah-olah semakin “stim” dan selesa untuk bergerak bersama Hamzah berbanding terus mempertahankan kekuatan asal Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun persoalannya, adakah Hamzah benar-benar mempunyai kekuatan kepimpinan yang mampu membawa kemenangan besar kepada PAS dan PN pada pilihan raya akan datang?
Jika dilihat secara objektif, rekod politik Hamzah tidak pernah menunjukkan beliau seorang pemimpin yang mampu mencetuskan gelombang sokongan rakyat.
Sebaliknya, beliau lebih dikenali sebagai operator politik belakang tabir yang mahir dalam rundingan elit, percaturan dalaman dan pengurusan kuasa.
Masalahnya, politik Malaysia hari ini bukan lagi sekadar soal operator politik. Politik hari ini bergerak atas faktor pengaruh rakyat, personaliti, emosi dan kemampuan mencipta momentum massa.
Di sinilah kelemahan besar Hamzah.
Sepanjang bersama Bersatu, Hamzah tidak pernah muncul sebagai tokoh utama yang menjadi pilihan akar umbi Melayu.
Dalam pelbagai kajian politik sebelum ini, nama beliau hampir tidak pernah berada dalam kelompok tiga pemimpin Melayu paling diminati rakyat.
Malah, ketika mengetuai pembangkang sekali pun, pengaruh beliau di mata rakyat biasa masih tenggelam berbanding tokoh lain termasuk Muhyiddin Yassin dan Muhammad Sanusi Md Nor.
Lebih membimbangkan, rekod pilihan raya Hamzah sendiri juga tidak begitu memberangsangkan. Ketika beliau memainkan peranan penting dalam strategi pilihan raya Bersatu dan PN, beberapa siri pilihan raya menunjukkan kegagalan gabungan itu untuk memperkukuhkan pengaruh sendiri tanpa bergantung kepada kekuatan PAS.
Contoh paling jelas ialah di Sabah. Walaupun PN ketika itu mempunyai kelebihan sebagai kerajaan pusat, Bersatu gagal membina akar umbi yang kukuh dan akhirnya tenggelam di bawah dominasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Episod itu memperlihatkan kelemahan besar strategi politik yang dikaitkan dengan Hamzah.
Hakikatnya, kekuatan PN selama ini bukan datang daripada Bersatu atau Hamzah, tetapi daripada jentera PAS dan sokongan pengundi Melayu luar bandar yang setia kepada parti itu.
Justeru, tindakan PAS yang dilihat semakin memberi ruang besar kepada Hamzah sebenarnya boleh membawa risiko besar kepada masa depan parti itu sendiri.
PAS perlu sedar pengundi Melayu hari ini semakin memilih berdasarkan karakter dan kekuatan kepimpinan, bukannya sekadar strategi elit politik.
Rakyat mahu melihat pemimpin yang mempunyai aura, mampu mencetuskan keyakinan dan mempunyai daya tarikan besar di peringkat nasional.
Hamzah setakat ini gagal memperlihatkan semua ciri tersebut.
Jika PAS terlalu yakin Hamzah mampu menjadi wajah baharu PN, parti itu mungkin sedang melakukan kesilapan besar. Lebih buruk, PAS boleh terperangkap dalam percaturan politik elit yang akhirnya menjauhkan gabungan itu daripada sentimen sebenar rakyat.
Politik tidak dimenangi di bilik rundingan semata-mata. Politik dimenangi melalui keyakinan rakyat.
Dan setakat hari ini, Hamzah masih gagal membuktikan beliau mempunyai kekuatan kepimpinan yang mampu membawa gelombang kemenangan besar kepada PAS mahupun PN.
Jika PAS terus “stim” dengan Hamzah tanpa menilai realiti sokongan rakyat secara jujur, tidak mustahil parti itu sendiri bakal terperosok dan menerima kekalahan yang lebih besar pada pilihan raya akan datang.
SPR tunggu notis rasmi pembubaran DUN Johor sebelum umum tarikh PRN
Ketua UMNO Beruas nafi dakwaan tampar cucu Nik Aziz
PH Johor sedia hadapi PRN selepas DUN dibubar
Johor bubar DUN, PRN bakal diadakan
Tak sangka DAP tawar jawatan GLC demi sokongan politik: Puad
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi