PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti

4 jam lalu · Politik

Keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR disifatkan sebagai tindakan tidak berprinsip dan mengkhianati mandat yang diberikan anggota parti kepadanya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng berkata tindakan itu bukan sahaja mengabaikan kepercayaan 4,416 anggota yang mengundinya dalam pemilihan parti, malah mengurangkan suara serta pengaruh politik Petaling Jaya dalam kepimpinan parti yang menerajui kerajaan.

Menurutnya, dakwaan Chean Chung mengatakan pandangannya tidak didengari dalam parti juga tidak munasabah memandangkan Ahli Parlimen itu dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat MPP sejak November tahun lalu.

“Seseorang tidak boleh mengadu tidak didengari apabila memilih untuk tidak hadir. Jika benar beliau mempunyai prinsip dan keberanian politik, tempat untuk mempertahankannya adalah di dalam mesyuarat, bukannya di media sosial selepas berbulan-bulan ponteng.

“Pemimpin yang berani ialah mereka yang berhujah di hadapan rakan seperjuangan dan bertanggungjawab di meja rundingan walaupun berbeza pandangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya daripada MPP PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus kekal sebagai ahli PKR serta menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.

Mengulas dakwaan berkaitan pembatalan akses kepada sistem MyKhas, Ng berkata rakyat, persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui saluran rasmi yang ditetapkan kerajaan.

“Beliau bukan memperjuangkan isu itu dari dalam parti dan kerajaan, sebaliknya memilih meninggalkan platform kepimpinan yang memberinya ruang untuk mempengaruhi keputusan.

“Yang hilang bukan bantuan kepada rakyat kerana ia merupakan peruntukan khas di bawah seliaan Perdana Menteri, tetapi pengaruh dan kedudukan politik beliau sendiri,” katanya.

Ng turut mengaitkan tindakan Lee dengan beberapa pemimpin PKR yang sebelum ini melepaskan jawatan selepas tewas dalam pemilihan parti.

Katanya, ketika negara berdepan cabaran ekonomi global, tekanan tarif antarabangsa, isu kos sara hidup serta pelaksanaan pelbagai agenda reformasi, terdapat segelintir pemimpin yang memilih untuk berundur daripada tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

“Ketika Rancangan Malaysia Ke-13 sedang dirangka dan pelbagai dasar ekonomi memerlukan kesinambungan serta kestabilan, mereka memilih untuk meninggalkan tanggungjawab.

“Jika keputusan parti sendiri pun tidak mampu diterima, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menguruskan sebuah negara yang jauh lebih kompleks,” katanya.

Beliau menegaskan kepimpinan perlu dinilai berdasarkan kemampuan seseorang untuk terus berkhidmat dan berdepan cabaran, termasuk ketika berlakunya perbezaan pandangan atau keputusan yang tidak memihak kepada diri sendiri.

Menurutnya, pengundi memilih wakil rakyat untuk bekerja dan memperjuangkan kepentingan masyarakat, bukannya mencetuskan polemik politik setiap kali berdepan tekanan.

Berita berkaitan
Anwar dakwa sikap tak sabar punca PRN Negeri Sembilan terpaksa diawalkan
June 12, 2026· Politik
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
10 jam lalu· Politik
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
10 jam lalu· Politik
MP Petaling Jaya undur diri dari kepimpinan pusat PKR
14 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
June 12, 2026 · Politik
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
4 jam lalu · Politik
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
10 jam lalu · Politik
DAPSY bidas UMNO Johor, dakwa bersikap hipokrit
10 jam lalu · Politik
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
13 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok