Perdana Menteri, Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim mengakui beliau memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung kesan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Menurut Perdana Menteri, nasihat yang diberikan turut mengambil kira beberapa perkara yang masih berkait dengan Najib termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saman sivil yang masih berjalan serta kesannya terhadap keyakinan rakyat dan pandangan antarabangsa.
Namun, Anwar menegaskan hak untuk memohon pengampunan tetap terbuka kepada setiap banduan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.
“Saya tetap pertahankan hak itu, sesiapa pun termasuk Najib ada hak mengemukakan rayuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, termasuk membenarkannya menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Anwar turut menjelaskan peranannya dalam proses tersebut tidak bermaksud beliau menentukan bentuk pengampunan yang diberikan.
Katanya, Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong turut menerima nasihat daripada Peguam Negara dan Perdana Menteri, namun keputusan akhir terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
“Apakah nasihat saya ke arah keputusan itu (tahanan rumah)? Tidak, saya tetap mengingatkan kes yang masih berjalan,” katanya.
Anwar turut menegaskan keputusan berkaitan pengampunan adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, termasuk perkara berkaitan penganugerahan pingat.
“Saya tegaskan sekali lagi dalam kes pengampunan atau penganugerahan pingat itu adalah wewenang atau budi bicara raja negeri atau Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Keputusan pengampunan bersyarat itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan keputusan berkenaan tidak mengubah pendirian kerajaan terhadap prinsip negara hukum dan usaha membanteras rasuah.
Beliau berkata pengampunan tidak bermaksud negara perlu berkompromi dengan rasuah atau salah guna kuasa yang boleh memberi kesan kepada rakyat dan negara.
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
Pengampunan Najib: Loke pilih untuk berundur dari Kabinet
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum