Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikaitkan dengan penemuan wang RM170 juta sebelum ini.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan Selasa ini bagi sebutan kes bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang didakwa gagal mengisytiharkan sejumlah wang tunai, mata wang asing dan barangan berharga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Prosiding berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin, menurut semakan laman web kehakiman.
Ismail, 66, sebelum ini didakwa di mahkamah pada 27 Ogos lalu dan dibenarkan bebas dengan jaminan RM300,000 bersama seorang penjamin daripada kalangan ahli keluarga. Mahkamah turut membenarkan pasportnya tidak diserahkan sebagai syarat jaminan.
Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu diserahkan kepadanya oleh pegawai SPRM pada 10 Januari 2025 dan beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta berkenaan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Antara harta yang didakwa tidak diisytiharkan ialah wang tunai berjumlah RM14,772,150 serta pelbagai mata wang asing termasuk SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, AED34.7 juta dan AU$352,850.
Turut disenaraikan ialah lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram serta satu syiling emas 999 Fine Gold seberat lima gram.
Ismail didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Pada prosiding terdahulu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Ismail diwakili pasukan peguamnya.
Sebutan Selasa ini dijangka menjadi perkembangan seterusnya dalam kes yang melibatkan dakwaan kegagalan mengisytiharkan aset kepada SPRM itu.
Ismail merupakan Perdana Menteri kelapan dan memegang jawatan tersebut dari Ogos 2021 hingga November 2022.
PH-Bersatu masih belum duduk berunding secara rasmi: Fahmi
Pertemuan PH-Bersatu sekadar makan malam: Adam Adli
Pemimpin PH-Bersatu bertemu, rundingan PRN Melaka?
Krisis Negeri Sembilan: 10 bekas Exco terima arahan pulangkan kenderaan rasmi
Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Siti Hasmah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum