Aminuddin terkejut 10 Exco saman kerajaan Negeri Sembilan

October 8, 2026 · Politik

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memfailkan saman terhadap kerajaan negeri sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Aminuddin berkata, beliau terkejut dengan perkembangan itu selepas 10 Exco berkenaan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan membatalkan pelantikan mereka sebagai Exco.

“Saya terperanjat apabila 10 mantan Exco Negeri Sembilan telah memfailkan saman kepada kerajaan negeri, kerajaan mereka sendiri.

“Ini merupakan satu perkara yang tak pernah berlaku. Ramai tertanya-tanya dan menghubungi saya menyatakan apa yang berlaku hari ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar tindakan membatalkan pelantikan mereka sebagai Exco.

Aminuddin turut mempersoalkan pihak yang menasihati kesemua Exco terbabit supaya mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Menurutnya, sekiranya isu berkenaan dapat ditangani lebih awal melalui rundingan dan penyelesaian dalaman, tindakan saman mungkin dapat dielakkan.

“Kerajaan saman kerajaan, menuntut kos daripada kerajaan. Tak pernah dalam sejarah Malaysia. Tak tahu bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang menasihati,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang menyaksikan BN dan PN memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.

Katanya, mandat itu sepatutnya digunakan untuk memastikan pentadbiran Negeri Sembilan berjalan lancar dan memberi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.

“Saya akur, teman-teman daripada Pakatan Harapan akur, teman-teman daripada Bersatu pun akur tentang kekalahan dan mereka mendapat majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

“Sepatutnya mereka boleh berjalan dengan lebih baik, lebih lancar dan dapat membantu pembangunan negeri serta rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Namun, Aminuddin berkata, kemelut politik yang masih berlarutan sehingga Oktober menimbulkan persoalan terhadap keupayaan pentadbiran negeri menyelesaikan masalah dalaman.

Beliau bimbang perkembangan itu akhirnya memberi imej kurang baik kepada Negeri Sembilan sehingga menjadi perhatian rakyat di negeri lain.

“Jangan kita digelakkan oleh rakyat Malaysia dan rakyat negeri-negeri lain yang melihat kita tidak bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menghentikan permainan politik dan kembali memberi tumpuan kepada mandat yang diberikan rakyat.

“Bukannya hari ini kita terus berpolitik, bukan sesama orang politik, tetapi sekarang sesama… saya pun tak tahu, sesama kerajaan. Saya pun tak tahu mana satu kerajaan sekarang,” katanya.

Aminuddin pada masa sama berharap kemelut tersebut dapat diselesaikan secara baik kerana ruang untuk memperbetulkan keadaan masih terbuka.

Berita berkaitan
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
18 jam lalu· Politik
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
October 9, 2026· Politik
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
October 9, 2026· Politik
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
October 8, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
18 jam lalu · Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
23 jam lalu · Politik
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
October 10, 2026 · Politik
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026 · Politik
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
October 9, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok