Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mata wang negara, ringgit, terus mencuri perhatian apabila muncul sebagai antara yang paling kukuh di Asia untuk dua tahun berturut-turut, menurut Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata prestasi itu mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang semakin mantap, didorong pertumbuhan stabil serta keyakinan pelabur global yang kian meningkat.
“Walaupun konflik di Asia Barat memberi tekanan kepada pasaran dunia, termasuk kenaikan harga tenaga dan aliran keluar modal, Malaysia tetap mencatat perkembangan positif,” katanya ketika berucap pada pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Keselamatan Kebangsaan Asia 2026 hari ini.
Bagi tempoh 10 bulan lalu, negara merekodkan aliran masuk dana global yang kukuh apabila pelabur membeli bon Malaysia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM9.5 bilion).
Menurut beliau, perkembangan ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ekonomi domestik.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita melihat pelabur global kembali aktif membeli bon Malaysia, menandakan keyakinan yang semakin pulih,” jelasnya.
Untuk rekod, ringgit sebelum ini berdepan tekanan susulan ketidaktentuan ekonomi global dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat.
Namun, langkah pembaharuan ekonomi serta dasar fiskal yang lebih tersusun membantu menstabilkan mata wang tempatan sejak tahun lalu.
Anwar turut memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, disokong oleh pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.
Sektor utama seperti pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa menjadi pemacu utama pertumbuhan tersebut.
Beliau menegaskan kejayaan itu tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan kerajaan melaksanakan reformasi serta menjalin kerjasama rapat dengan pelabur antarabangsa.
Pada masa sama, beliau menyorot perkembangan industri pertahanan tempatan yang semakin canggih, khususnya dalam bidang aeroangkasa dan semikonduktor.
Katanya, beberapa syarikat tempatan kini menjadi pembekal utama kepada pengeluar enjin aero global.
“Keupayaan ini membuktikan Malaysia memiliki standard ketepatan dan akauntabiliti tinggi, setanding dengan pemain industri antarabangsa,” katanya.
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar