Bryan Ng.
Dakwaan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung tidak diberi ruang untuk bersuara dalam PKR dipersoalkan Timbalan Setiausaha Agung parti itu, Bryan Ng Yih Miin.
Bryan berkata, Chean Chung sebenarnya mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan, bertanya atau menyatakan perbezaan pendapat ketika menganggotai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Namun, beliau mendakwa Chean Chung tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat MPP sejak November 2025 sebelum memilih meletakkan jawatan daripada badan kepimpinan itu pada Jun lalu.
“Jadi persoalannya mudah. Jika benar beliau disekat daripada bersuara, bila, dalam mesyuarat mana, oleh siapa dan apakah isu yang cuba dibangkitkan tetapi dihalang?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chean Chung sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa Jumaat, selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau turut mendakwa penggantungannya daripada PKR menyebabkan ruang untuk berbahas serta menyatakan pendirian dalam parti semakin terhad, selain mendakwa akses kepada peruntukan kawasan Parlimen turut terjejas.
Pada 30 September lalu, keahlian Chean Chung dalam PKR digantung selama tiga tahun.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum ini turut berkata Chean Chung hampir setahun tidak melibatkan diri dalam urusan parti, termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan kongres.
Bryan berkata, mesyuarat MPP merupakan antara platform utama pimpinan PKR untuk membincangkan isu nasional, dasar kerajaan dan perkembangan semasa. Mesyuarat itu turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti.
Dalam isu berkaitan kawasan Petaling Jaya, Bryan turut mendakwa Chean Chung tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), termasuk perbincangan berkaitan mitigasi banjir dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ).
“Kalau benar mahu selesaikan masalah rakyat, hadir dahulu di meja penyelesaian. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan sekadar gimik,” katanya.
Menurutnya, RTPJ penting dalam menentukan hala tuju pembangunan Petaling Jaya termasuk aspek penggunaan tanah, trafik, kemudahan awam dan perancangan bandar.
MBPJ kini sedang menyediakan Draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian) mengikut peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Bryan berkata, isu yang dibangkitkan melalui kenyataan media perlu turut disusuli penglibatan dalam mesyuarat supaya wakil rakyat mendapat maklumat teknikal dan dapat mencari penyelesaian.
Mengulas dakwaan Chean Chung berhubung kekeliruan terhadap strategi Perdana Menteri dan hala tuju kerajaan, beliau berkata saluran dalam parti masih terbuka untuk mendapatkan penjelasan.
“Kalau ada persoalan, tanya. Kalau tidak setuju, bahas. Kalau ada cadangan lebih baik, kemukakan,” katanya.
Bryan turut mendakwa Chean Chung sebelum ini pernah membangkitkan pandangan mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang kemudian membawa kepada penambahbaikan oleh kerajaan.
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum