Kerajaan bergolak saling menyerang, PAS cadang bubar Parlimen

September 5, 2026 · Politik

PAS mencadangkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu diberikan kepada rakyat susulan keadaan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang semakin bergolak.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu semakin terbuka apabila parti-parti dalam kerajaan dilihat saling menyerang menerusi kenyataan masing-masing.

Menurutnya, keadaan berkenaan menunjukkan kemelut politik dalam kerajaan sudah semakin serius dan sukar dikawal.

“Pandangan saya mudah saja… untuk kestabilan, bubar saja Parlimen. Beri mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan baharu.

“Keputusan baru-baru ini bukan rakyat memilih satu parti, tetapi ia hanya gabungan. Malah pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS Pusat, lewat malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, pertelingkahan terbuka antara parti dalam kerajaan sebelum ini biasanya tidak berlaku kerana masalah dalaman akan diselesaikan dalam parti.

“Biasanya, perkara sebegini dalam parti tidak akan dibawa keluar tetapi kerana situasi sudah serius dan tidak boleh dikawal, masing-masing serang-menyerang sesama sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pimpinan PKR yang menggesa UMNO menjelaskan pendirian sama ada mahu terus bersama Kerajaan Perpaduan atau menyokong Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim mendakwa PKR tidak sepatutnya mengambil pendekatan sedemikian kerana kekuatan kerusi UMNO lebih besar.

“PKR perlu sedar diri, dia menumpang UMNO dan kekuatan UMNO. Jadi sepatutnya dalam muafakat politik, biasanya kita saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata tindakan komponen Kerajaan Perpaduan termasuk PKR dan DAP itu dipercayai menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan pimpinan UMNO.

Sebelum ini, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi menggesa UMNO menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mahu kekal bersama Kerajaan MADANI atau beralih menyokong PN.

Gesaan itu dibuat selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan berpandangan PRU16 wajar diadakan lebih awal sebelum penggal Parlimen berakhir pada hujung tahun depan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dipetik berkata PRU lebih awal membolehkan mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat.

Cadangan PAS untuk membubarkan Parlimen itu sekali gus menambah tekanan politik terhadap Kerajaan Perpaduan ketika parti-parti utama mula memperlihatkan pendirian masing-masing mengenai masa sesuai untuk PRU16.

Berita berkaitan
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
8 jam lalu· Politik
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
8 jam lalu· Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
13 jam lalu· Politik
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
15 jam lalu · Politik
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
October 9, 2026 · Politik
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
October 9, 2026 · Politik
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
October 9, 2026 · Politik
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
October 8, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok