Pemimpin UMNO, Puad Zarkashi membidas bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker.
Kluster yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, didakwa mendesak parti itu agar segera keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkannya bertanding lebih banyak kerusi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi, bagaimanapun berkata kepimpinan MCA dikhuatiri akan mengulangi nasib malang Presiden Parti Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas sebelum ini.
Menurut Puad, pemimpin MCA dan MIC juga dilihat tidak yakin pengundi Melayu khususnya daripada PAS akan memberikan undi kepada mereka sekiranya mereka menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Undi Melayu daripada UMNO lebih terjamin. Kluster Lian Ker memang mahu MCA keluar segera dari BN supaya MCA boleh bertanding lebih banyak kerusi dan berharap pada undi Melayu PAS serta Bersatu.
“Tetapi pimpinan MCA bimbang apa yang berlaku kepada Dominic akan berulang kepada MCA,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau merujuk kepada kekalahan Dominic dalam PRN di DUN Bayan Lepas – sebuah kubu kuat PAS – meskipun bekas presiden Gerakan itu berkempen bersama-sama parti tersebut, namun tetap tewas.
Sebelum ini, Lian Ker berpendapat MCA masih terperangkap dalam dilema hala tuju politik, tidak seperti MIC yang lebih jelas dan tegas membuat keputusan untuk bergerak sendiri tanpa hanya menjadi ‘hiasan’ dalam BN.
Jelas beliau, situasi itu membimbangkan memandangkan kepimpinan MCA ketika ini tidak menunjukkan ketegasan pada saat-saat paling penting.
Lian Ker turut memberi amaran bahawa sekiranya kepimpinan pusat terus gagal menangani isu tersebut, akar umbi parti mungkin akan mencari haluan sendiri.
Kes DNAA Zahid: Badan Peguam tunggu keputusan rayuan 14 Jun tahun depan
AMK: GPS, GRS sanggup terima PM daripada PAS?
Mahfuz persoal Sanusi: Mana hasil projek mega Kedah?
Isu perkataan ‘lighad’: Lim Sian See dipanggil polis
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum