Kematian Zara Qairina didakwa menjadi mangsa buli.
Pendakwaan terhadap lima remaja perempuan yang didakwa mengugut Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diteruskan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan pendakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, walaupun terdapat permohonan daripada peguam keluarga Allahyarham Zara untuk menangguhkan prosiding buat sementara waktu.
“Kita akan teruskan,” kata beliau dipetik laporan media.
Permohonan penangguhan itu disampaikan melalui surat yang dihantar menerusi e-mel kepada AG pagi tadi.
Namun, berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, AG mempunyai kuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan, atau menghentikan sebarang prosiding jenayah di mahkamah sivil.
Barisan peguam keluarga Zara, yang terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser, dalam kenyataan hari ini memohon agar pendakwaan ditangguhkan sementara bagi membolehkan pertimbangan untuk mendakwa remaja-remaja tersebut di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan yang lebih berat.
“Jika bukti sedia ada tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 507D(2), kami berharap siasatan lanjut dapat dijalankan. Namun, jika bukti mencukupi, kami merayu agar pertuduhan yang lebih berat dikenakan,” jelas kenyataan itu.
Kelima-lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun itu akan didakwa atas kesalahan mengugut melalui komunikasi, yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan tarikh prosiding inkuest bagi kes kematian Zara Qairina bermula 3 September depan.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan prosiding akan berlangsung pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, serta 22 hingga 30 September.
Kes ini mendapat perhatian meluas ekoran kematian tragis Zara Qairina, yang didakwa menjadi mangsa ugutan dan buli sebelum meninggal dunia.
Pendakwaan terhadap remaja-remaja terlibat dijangka menjadi titik penting dalam menangani jenayah siber dan buli dalam kalangan remaja di negara ini.
Diesel diterima Filipina bukan dari perut bumi Malaysia
Kerajaan teliti subsidi bersasar bagi diesel ikut kaedah BUDI95: Fahmi
Harga diesel Sabah, Sarawak, Labuan kekal RM2.15: MOF
Keputusan kes saman barang kemas Rosmah ditetapkan 10 Jun
Arab Saudi akan kenakan denda haji tanpa permit SR100,000
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan