Dr Zulkifli Hasan.
Penentuan seseorang masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak ALLAH SWT dan tidak boleh dijadikan jaminan oleh mana-mana individu, pemimpin atau parti politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan menegaskan sokongan kepada organisasi atau wadah politik tertentu tidak boleh dianggap sebagai syarat untuk seseorang memperoleh tempat di syurga.
Beliau berkata, dakwaan sedemikian seolah-olah meletakkan hak menentukan syurga dan neraka di tangan manusia, sedangkan perkara itu adalah ketetapan ALLAH SWT.
“Syarat utama untuk meraih keredaan dan rahmat ALLAH SWT adalah keimanan yang ikhlas, ketakwaan, amalan soleh mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah, bukannya borang keahlian atau sokongan kepada mana-mana bendera politik.
“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat ALLAH SWT merupakan bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Zulkifli turut merujuk Surah al-Baqarah ayat 111 yang menegur sikap kelompok tertentu mendakwa hanya golongan mereka mempunyai hak terhadap syurga.
Kenyataan itu muncul selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam ceramah sempena Sambutan Jubli Intan 75 tahun PAS di Kota Bharu pada Jumaat mengaitkan perjuangan parti berkenaan dengan peluang mendapat tempat di syurga.
Takiyuddin dilaporkan berkata seseorang boleh mendapat tempat di syurga melalui perjuangan yang dibawa PAS, sambil menjelaskan parti itu hanyalah sebuah pertubuhan politik dengan wadah perjuangan berteraskan Islam.
Mengulas perkara itu, Zulkifli berkata parti politik perlu dilihat sebagai wasilah atau perantara dalam usaha manusia dan bukan agama itu sendiri.
Menurutnya, setiap wadah politik tetap mempunyai kelemahan serta ruang ijtihad dan tidak wajar diletakkan pada kedudukan yang melampaui prinsip akidah.
“Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah,” katanya.
Isu penggunaan agama dalam politik sebelum ini sering menjadi perdebatan apabila parti dan pemimpin politik mengaitkan perjuangan masing-masing dengan tuntutan agama. Dalam konteks ini, Zulkifli mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan soal syurga dan neraka sebagai alat meraih sokongan politik.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum