Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa cuba menggugat kestabilan kerajaan Negeri Sembilan sehingga membawa kepada kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal daripada jadual asal.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Aminuddin Harun, tidak berdepan sebarang isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa atau kelemahan pentadbiran yang boleh dijadikan alasan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Tanah mana yang Tok Min curi? Projek balak mana yang diambil? Kalau ada isu rakyat terabai, ada isu rasuah atau salah guna kuasa, kita boleh bincang. Tetapi apa sebabnya kerajaan ini hendak dijatuhkan?” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada malam tadi.
Anwar berkata sudah berkali-kali mengingatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada kerajaan untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan mengekalkan kestabilan politik demi pembangunan negara.
Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta memperkukuhkan ekonomi negara yang masih berdepan pelbagai cabaran global.
“Saya minta bersabar. Kita ada tanggungjawab untuk jaga makan minum rakyat, harga barang, salur Sumbangan Tunai Rahmah, SARA dan kebajikan rakyat. Belum sampai tiga tahun lagi penggal ini, tetapi ada yang tidak sabar dan terus mahu berebut kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan motif pihak yang cuba mencetuskan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan dan Johor walaupun kedua-dua negeri terus menerima pelbagai peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak peduli Negeri Sembilan atau Johor, mungkin ada sebab untuk marah. Tetapi saya tidak pernah dengar keluhan begitu. Jadi yang direbut itu apa sebenarnya?” soalnya.
Menurut Anwar, kerajaan telah meluluskan pelbagai projek strategik bernilai berbilion ringgit termasuk pembangunan pelabuhan baharu, pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), projek Rapid Transit System (RTS), Maharani Energy Gateway serta pembangunan semula Forest City.
Beliau berkata, semua projek berkenaan dirancang bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Sebab itu saya hairan. Kita bekerja siang malam membawa pelaburan, membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat tetapi ada juga yang lebih berminat mencari jalan untuk merampas kuasa,” katanya.
Anwar turut menegaskan amanah mentadbir negara bukanlah untuk mengejar kekayaan atau kedudukan politik, sebaliknya memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Apabila diberi amanah, jalankanlah amanah itu sebaik-baiknya untuk rakyat,” katanya.
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
DAPSY bidas UMNO Johor, dakwa bersikap hipokrit
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
UMNO terima lebih 21,000 ahli baharu sejak Februari: Asyraf Wajdi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi