Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 atau Akta JAC bukan sesuatu yang mengikat atau menentukan mana-mana individu untuk dilantik sebagai hakim mahkamah atasan, kata Azalina Othman Said.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi itu menjelaskan Akta JAC berfungsi sebagai proses menapis calon-calon yang dicadangkan untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, sementara pelantikan hakim pula tertakluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya lagi, Akta JAC pula bukan satu peruntukan undang-undang yang mengikat dalam menentukan pelantikan hakim.
“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta finalisation (yang mengikat). Cadangan itu tidak mengikat.
“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau niat mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya dipetik laporan media.
Azalina terdahulu merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort hari ini.
Sementara itu, Azalina meminta semua pihak merujuk hansard Dewan Rakyat ketika Nazri Abdul Aziz memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang.
Ketika itu katanya, Mohamed Nazri memaklumkan bahawa Akta JAC itu lebih kepada pentadbiran, dan tidak mengikat.
“Kalau niat nak mengikat, kena dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapi isunya Perkara 122B masih tidak dipinda.
“Perkara berkenaan tidak menyebut bahawa adanya Akta JAC yang wajib mengikat. Jadi jika kita tafsirkan undang-undang ini, dia membezakan antara duanya (Akta JAC dan Perkara 122B),” katanya.
Berhubung lantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, Azalina meminta semua pihak menunggu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang bersidang pada pertengahan bulan ini.
“Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan kekosongan jawatan badan kehakiman negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Jadi kita tunggu minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai bersidang,” katanya.
Majlis Raja-Raja dilaporkan akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Bersatu tegas singkir ‘musuh dalam selimut’, elak sabotaj: MPT Bersatu
Status dua ADUN Kedah digantung Bersatu, Sanusi tunggu perkenan Sultan
Khlir dakwa kedudukan sebagai MP tidak terjejas walaupun digantung Bersatu
Wujud persefahaman baik UMNO-BN dalam Kerajaan Perpaduan: Zahid
PMX paling susah terima soal kenaikan harga barang: Mat Sabu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan