Ahmad Samsuri Mokhtar.
Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) terus memuncak apabila Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar tampil menyanggah kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung rundingan antara PAS dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahmad Samsuri menegaskan rundingan awal dengan BN bukan dilakukan secara bersendirian oleh PAS, sebaliknya berlangsung dengan pengetahuan dan kelulusan beliau selaku Pengerusi PN sebelum mendapat pengesahan Majlis Tertinggi gabungan itu.
“Merujuk kenyataan Presiden Bersatu semalam, segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan dengan pengetahuan dan kebenaran saya selaku Pengerusi PN.
“Ia juga telah dimuktamadkan serta diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau, yang lebih dikenali sebagai Dr Sam, berkata Majlis Tertinggi PN turut meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan melibatkan PAS, Gerakan, Parti Maju India Malaysia (MIPP) dan Parti Wawasan.
Menurutnya, mesyuarat itu turut memutuskan semua calon PN akan bertanding menggunakan lambang rasmi gabungan pada PRN Negeri Sembilan.
“Jumlah dan senarai calon PN akan diumumkan hari ini,” katanya.
Kenyataan Ahmad Samsuri dilihat bercanggah dengan dakwaan Muhyiddin sehari sebelum itu, yang mendakwa PAS mengadakan rundingan dengan BN tanpa merujuk atau mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PN serta parti-parti komponen lain.
Muhyiddin turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan PAS dan menyifatkannya tidak selari dengan kepentingan gabungan pembangkang itu.
Susulan perkembangan tersebut, Bersatu mengumumkan akan menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, malah Muhyiddin memaklumkan beberapa parti lain turut menyatakan minat untuk bertanding menggunakan lambang Bersatu.
Pertembungan terbuka antara dua pemimpin tertinggi PN itu hadir ketika hubungan PAS dan Bersatu semakin renggang sejak PAS menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan bulan lalu.
PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos dan episod saling bercanggah antara pimpinan tertinggi PN dijangka terus menjadi tumpuan ketika gabungan itu berusaha meredakan ketegangan dalaman menjelang hari penamaan calon dan pengundian.
PRN NS: Pengundi tentukan kemenangan, bukan ramalan atau nujum
ADUN Seri Serdang bidas kempen Sanusi, seru politik lebih matang
Manifesto PH fokus pelaburan dan pekerjaan bergaji tinggi
Pembantu Muhyiddin dedah PAS pilih kawan demi kerusi, bukan kerana Melayu dan Islam
PRN NS: SPR sasar 90 peratus pengundi awal keluar mengundi
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
[VIDEO] Peguam PH dakwa kenyataan Asyraf Wajdi boleh kelirukan rakyat, gesa PDRM dan SPR siasat