Arthur Joseph Kurup.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pegawai kanan jabatan berkenaan baru-baru ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata tidak akan berkompromi dengan isu melibatkan integriti dan salah laku dalam kementeriannya, malah memberi komitmen untuk bekerjasama dengan agensi anti rasuah tersebut.
“Kita pegang prinsip integriti, tadbir urus baik dan akauntabiliti sebagai keutamaan. Sebarang salah guna kuasa atau rasuah tidak akan dikompromi,” katanya di Dewan Rakyat.
Arthur juga memaklumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan alam sekitar.
Ujarnya langkah itu juga bertujuan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar lebih responsif dan berimpak tinggi.
Langkah penambahbaikan ini dilihat penting ketika kerajaan terus memperkukuh usaha membanteras jenayah alam sekitar, termasuk isu penyeludupan sisa elektronik yang semakin mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malaysia sebelum ini berdepan tekanan antarabangsa berkaitan kemasukan sisa haram, sekali gus mendorong penguatkuasaan lebih tegas selaras komitmen di bawah Konvensyen Basel.
Kementerian turut memaklumkan Malaysia tidak pernah membenarkan pengimportan sisa elektronik.
Antara 2021 hingga 2025, sebanyak 428 daripada 701 kontena e-sisa yang dikesan berjaya dihantar pulang ke negara asal. Secara keseluruhan, 1,241 kontena diperiksa oleh agensi penguat kuasa termasuk Kastam dan Jabatan Alam Sekitar dalam tempoh sama.
Menurut kementerian, jika sisa tidak dapat dipulangkan walaupun selepas pelbagai usaha dilakukan, ia hanya akan dilupuskan menggunakan kaedah pengurusan mesra alam di fasiliti berlesen dalam negara.
Dalam usaha membanteras pemprosesan e-sisa haram, sebanyak 85 kes telah diambil tindakan menerusi Ops Hazard 1 dan 2, melibatkan kompaun terhadap 21 premis dan pendakwaan mahkamah terhadap 64 kes, dengan 11 kes telah selesai setakat ini.
“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan polis untuk menutup kilang haram dan membawa pengendali ke muka pengadilan,” katanya.
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
Kapal Malaysia tersekat di Selat Hormuz dikepung tentera AS: Mohamad Hasan
Isu stesen minyak kehabisan bekalan, Loke nafi negara berdepan krisis bahan api
PMX umum peruntukan RM2 juta untuk Akademi Sepak Takraw
Lebih 200,000 penjawat awam mula kerja dari rumah esok
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan