Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar

June 13, 2026 · Politik

Malaysia memerlukan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam berpolitik bagi memastikan semangat negara bangsa yang dibina atas asas perpaduan terus dipertahankan dan diperkukuhkan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi tunjang pembentukan negara perlu terus dipelihara menerusi sikap saling menghormati serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Menurut beliau, cabaran terbesar negara adalah memastikan rakyat daripada pelbagai latar belakang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terus hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza suku kaum, budaya dan warna kulit.

“Kita perlukan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan dalam politik untuk mempertahankan serta memperkukuh semangat negara bangsa ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Likas hari ini.

Anwar berkata, pembinaan sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan serta kesabaran tinggi seperti yang pernah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu ketika negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, tokoh-tokoh pengasas negara termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak berjaya meletakkan kepentingan negara mengatasi perbezaan kaum, agama dan wilayah.

“Tokoh-tokoh seperti Tun Temenggong Jugah Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens mempunyai jiwa yang murni untuk menjayakan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya meneruskan legasi perjuangan pemimpin terdahulu dengan memelihara perpaduan dan tidak membiarkan isu kaum atau wilayah dieksploitasi untuk menanam kebencian dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, budaya menanam bibit kebencian serta kegagalan menghormati perbezaan hanya akan membawa kepada perpecahan yang akhirnya merugikan negara.

Anwar berkata, majoriti rakyat memahami bahawa kestabilan politik dan perpaduan merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran negara.

“Perpaduan bukan sekadar mengenali antara satu sama lain, tetapi menghormati perbezaan bahasa, budaya, kaum dan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan platform perpaduan di peringkat akar umbi seperti Rukun Tetangga dan Komuniti MADANI perlu terus diperkasakan bagi menggalakkan kerjasama dan hubungan erat antara rakyat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Anwar memuji Sabah sebagai contoh terbaik keharmonian masyarakat majmuk yang berjaya hidup dalam suasana saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai suku kaum dan budaya.

Katanya, sambutan Minggu Perpaduan Negara yang berlangsung meriah di negeri itu membuktikan rakyat Sabah terus menjadi teladan dalam usaha memelihara perpaduan dan kebersamaan.

Minggu Perpaduan Negara merupakan program tahunan yang dianjurkan bagi memperkukuh integrasi nasional serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Sambutan tahun ini menghimpunkan pelbagai acara kebudayaan, pameran dan aktiviti komuniti yang melibatkan penyertaan rakyat dari seluruh negara.

Berita berkaitan
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
5 jam lalu· Isu semasa
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
5 jam lalu· Politik
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
5 jam lalu· Isu semasa
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
18 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Kawal mulut timbalan dan ketua pemuda UMNO dulu: DAPSY beritahu Zahid
June 13, 2026 · Politik
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
3 jam lalu · Politik
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
4 jam lalu · Politik
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
4 jam lalu · Politik
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
5 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok